Preface

Assalamualaikum w.b.k dan salam sejahtera. Blog ini menyediakan bahan-bahan pengajaran dan pembelajaran secara maya (virtual learning) khusus untuk pelajar Program Pra Universiti (PPU) SMK Pandan Mewah dalam mata pelajaran Pengajian Am STPM Baharu yang bermula pada tahun 2013. Harapan saya blog ini dapat memberikan maklumat yang bermanfaat kepada semua dalam usaha kita mempertingkatkan ilmu pengetahuan dan memperkasakan pembelajaran sepanjang hayat. "Knowledge is power".






Tuesday, November 16, 2010

TEKNIK MENULIS KARANGAN PENGAJIAN AM

TEKNIK MENULIS KARANGAN (Masa Dicadangkan 30-35 minit)
PERINGKAT-PERINGKAT MENULIS KARANGAN
Panduan Umum
1. Sebelum menulis karangan, para calon perlu membuat keputusan tentang tajuk karangan yang hendak dipilih.
2. Pemilihan sesuatu tajuk haruslah berdasarkan sejauh manakah pengetahuan calon tentang isu yang menjadi tajuk dalam sesuatu soalan.
3. Hal ini penting supaya calon tidak buntu dalam mencari isi-isi karangan yang boleh mengganggu kelancaran penulisan karangan kelak.
4. Calon-calon perlu mempertimbangkan setiap maklumat tentang isu yang diperkatakan secara mendalam.
5. Maklumat-maklumat itu merangkumi fakta, data, dan contoh yang benar dan logik.
6. Setelah calon yakin dapat menguasainya ditambah pula tajuk itu sesuai dengan keupayaan diri calon, maka pilihlah tajuk berkenaan.

Peringkat 1: Menganalisis Kehendak Soalan.
1. Mengenalpasti kehendak soalan atau tajuk merupakan perkara yang amat penting supaya isi-isi dan pendekatan yang dikemukakan nanti tidak menyeleweng daripada tajuk karangan yang diberi.
2. Ramai calon yang gagal untuk mendapatkan gred yang baik kerana tidak mematuhi kehendak soalan.
3. Oleh itu, calon haruslah mengenal pasti kata kunci yang dapat memandu para calon menggarap isi persoalan dalam sesuatu tajuk karangan.
4. Perkara-perkara yang perlu dipertimbangkan dalam menganalisis kehendak soalan ialah;

a. Bentuk Soalan - Tertutup atau Terbuka.
i. Terbuka - Soalan berada dihadapan ayat.
Contoh soalan:
Pada masa kini, masyarakat di seluruh dunia dapat berinteraksi secara maya melalui aplikasi teknologi maklumat seperti Facebook, MySpace, Twitter, Friendster dan sebagainya. Jaringan komuniti maya ini mewujudkan pelbagai implikasi. Jelaskan kebaikan dan keburukan jaringan komuniti maya.

(Pernyataan tidak perlu dianalisis kerana kehendak soalan adalah jelas)

ii. Tertutup - Soalan berada dibelakang ayat.
Contoh soalan:
Pada masa kini, masyarakat di seluruh dunia dapat berinteraksi secara maya melalui aplikasi teknologi maklumat seperti Facebook, MySpace, Twitter, Friendster dan sebagainya. Jaringan komuniti maya ini memberikan kebaikan tertentu. Namun demikian, ia juga boleh membawa impak negatif jika disalahgunakan. Bincangkan?

(Pernyataan perlu dianalisis untuk mengenalpasti kehendak soalan)

b. Isu - apakah isu yang diutarakan dalam soalan. kegagalan memahami isu soalan akan menyebabkan karangan calon lari daripada tajuk soalan.
c. Fokus Soalan - merujuk kepada perkara yang ditanya dalam soalan sama ada satu fokus atau dua fokus.
d. Skema - asas skema hanya ada 2 iaitu 5+0 dan 3A+2B@2A+3B.,
1+1+2@1+2+1@2+1+1 tetapi ini hanyalah pecahan daripada skema asas tadi. Skema 5+0 bermakna hanya ada satu fokus soalan dan skema 3A+2B@2A+3B bermakna ada dua fokus soalan.

Peringkat 2: Menyenaraikan Idea Utama.
1. Dalam karangan pengajian am, calon perlu memberikan 5 idea utama (5 markah) dan setiap idea diiringi dengan 3 idea sampingan berbentuk huraian, huraian lanjutan, contoh dan ulasan atau penegasan idea. (5IU x 3H=12H = 15 markah)

2. Bagaimanapun, pada peringkat ini calon perlu menyenaraikan seberapa banyak idea yang berkaitan dengan kehendak soalan. (lebih daripada 4)



Peringkat 3: Mengasingkan Idea Idea Utama dan Idea Sampingan
4. Idea utama ialah idea secara langsung dengan kehendak soalan dan ia merupakan satu perkara pokok yang besar dan boleh berdiri sendiri.
5. Idea sampingan ialah tidak langsung dengan kehendak soalan tetapi secara langsung dengan idea utama dan ia merupakan perkara-perkara kecil yang tidak boleh berdiri sendiri tanpa perkara pokok.
6. Idea utama perlu diasingkan kerana markah hanya diberikan jika idea utama betul. Idea utama yang salah tidak akan diberikan markah huraian walaupun huraian betul.
7. Idea utama yang salah dianggap tidak relevan (TR) kerana tidak menjawab kehendak soalan.
8. Idea sampingan perlulah diletakkan selepas idea utama sebagai hujah-hujah yang menyokong idea utama.
9. Idea sampingan ini perlulah jelas dan tidak boleh dipertikaikan pernyataannya.
10. Idea sampingan yang tidak jelas (TJ) tidak diberikan markah huraian.

Peringkat 4: Menyediakan Rangka karangan.
1. Rangka karangan haruslah disediakan terlebih dahulu sebagai garis panduan kepada calon-calon semasa proses mengarang.
2. Perkara yang harus ada dalam karangan merangkumi aspek berikut:
a. Calon-calon dapat menentukan isi-isi yang perlu dimuat dalam sesebuah karangan.
b. Calon-calon akan menentukan urutan isi yang disusun mengikut keutamaan.
c. Calon dapat memastikan tidak ada isi-isi yang tertinggal.
d. Calon dapat merangka pendahuluan dan penutup karangan yang bersesuaian dengan isi karangan.

Peringkat 5: Menulis Karangan
1. Proses penulisan dijalankan setelah rangka karangan disediakan dengan jelas dan teratur.
2. Proses penulisan ini akan terlaksana dengan baik dan lancara apabila kesemua empat peringkat di atas diikuti dengan sempurna dan berkesan.
3. Pada peringkat ini, calon perlu sentiasa ingat "saya menjawab soalan" untuk memastikan karangan tidak terkeluar daripada tajuk.

Peringkat 6: Menyemak Karangan
1. Setiap karangan yang ditulis hendaklah disemak semula oleh calon dengan teliti supaya dapat mengesan kesalahan-kesalahan yang tidak disedari.
2. Kesalahan ini boleh melibatkan aspek tatabahasa yang terdiri daripada ejaan, tanda baca, perkataan, mahupun struktur ayat.
3. Setiap kesalahan yang dikesan hendaklah diperbetul dengan jelas.

Nota: Karangan Pengajian Am wajib mengikut format iaitu mengandungi tiga bahagian; Pendahuluan, Isi dan Penutup. (Perengan 1: Pendahuluan, perenggan 2-6: Isi dan perenggan 7: Penutup).

No comments: